Senin, 24 Oktober 2011

Shalahuddin Yusuf bin Najmuddin Ayyub Sang Panglima Perang



Shalahuddin Yusuf bin Najmuddin Ayyub dilahirkan di Takrit Irak
pada tahun 532 Hijrah /1138 Masihi dan wafat pada tahun 589
H/1193 M di Damsyik. Beliau adalah pengasas Daulah Al-
Ayyubiyah dan bergelar Sultan Shalahuddin. Seorang pahlawan
Islam yang paling gagah berani dalam perang Salib dan berhasil
merebut kembali Baitul Maqdis dari tangan kaum Salib Kristian.

Latarbelakang

Jerussalem merupakan kota Suci bagi ketiga-tiga agama samawi
yakni Islam, Yahudi dan Kristian. Di dalam kota inilah letaknya
Masjid Al-Aqsa yang dibangun oleh Nabi Sulaiman dan menjadi
Kiblat pertama umat Islam sebelum beralih ke Baitullah di
Makkah. Ketika Nabi Muhammad Isra , singgah dan solat di
masjid ini sebelum Mi raj ke langit. Nabi Isa as. juga dilahirkan di
Baitullaham berdekatan kota Jerussalam ini.
Di masa pemerintahan Khalifah Umar bin Khattab (13-23 H/634-
644 M) Jerussalam dapat direbut oleh kaum Muslimin dalam
suatu penyerahan kuasa secara damai. Khalifah Umar sendiri
datang ke Jerussalem untuk menerima penyerahan kota Suci itu
atas desakan dan persetujuan Uskup Agung Sophronius.
Berabad abad lamanya kota itu berada di bawah pentadbiran
Islam, tapi penduduknya bebas memeluk agama dan
melaksanakan ajaran agamanya masing-masing tanpa ada
gangguan. Orang-orang Kristian dari seluruh dunia juga bebas
datang untuk mengerjakan haji di kota Suci itu dan mengerjakan
upacara keagamaannya. Orang-orang Kristian dari Eropah
datang mengerjakan haji dalam jumlah rombongan yang besar
dengan membawa obor dan pedang seperti tentera. Sebahagian
dari mereka mempermainkan pedang dengan dikelilingi pasukan
gendang dan seruling dan diiringkan pula oleh pasukan
bersenjata lengkap.
Sebelum Jerussalem ditadbir Kerajaan Seljuk pada tahun 1070,
upacara seperti itu dibiarkan saja oleh umat Islam, kerana dasar
toleransi agama. Akan tetapi apabila Kerajaan Seljuk
memerintah, upacara seperti itu tidak dibernarkan, dengan
alasan keselamatan. Mungkin kerana upacara tersebut semakin
berbahaya. Lebih-lebih lagi kumpulan-kumpulan yang
mengambil bahagian dalam upacara itu sering menyebabkan
pergaduhan dan huruhara. Disebutkan bahawa pada tahun 1064
ketua Uskup memimpin pasukan seramai 7000 orang jemaah
haji yang terdiri dari kumpulan Baron-baron dan para pahlawan
telah menyerang orang-orang Arab dan orang-orang Turki.
Itulah yang membimbangkan Kerajaan Seljuk. Jadi larangan itu
demi keselamatan Jemaah haji Kristian itu sendiri. Malangnya,
tindakan Seljuk itu menjadi salah anggapan oleh orang-orang
Eropah. Ketua-ketua agama mereka telah berkempin bahawa
kebebasan agamanya telah dicabuli oleh orang-orang Islam dan
menyeru agar Tanah Suci itu dibebaskan dari genggaman umat
Islam.
Patriach Ermite adalah paderi yang paling lantang dan
bertungkus lumus mengapi-apikan kemarahan umat Kristian. Dia
asalnya seorang tentera, tapi kemudian menjadi paderi,
berwatak kepala angin dan cepat marah. Dalam usahanya untuk
menarik simpati umat Kristian, Ermite telah berkeliling Eropah
dengan mengenderai seekor kaldai sambil memikul kayu Salib
besar, berkaki ayam dan berpakaian compang camping. Dia
telah berpidato di hadapan orang ramai sama ada di dalam
gereja, di jalan-jalan raya atau di pasar-pasar. Dia menceritakan
sama ada benar atau bohong kisah kunjungannya ke Baitul
Maqdis.
Katanya, dia melihat pencerobohan kesucian ke atas kubur Nabi
Isa oleh Kerajaan Turki Seljuk. Diceritakan bahawa jemaah haji
Kristian telah dihina, dizalimi dan dinista oleh orang-orang Islam
di Jerussalem. Serentak dengan itu, dia menggalakkan orang
ramai agar bangkit menyertai perang untuk membebaskan
Jerussalem dari tangan orang Islam. Hasutan Ermite berhasil
dengan menggalakkan. Paus Urbanus II mengumumkan
ampunan seluruh dosa bagi yang bersedia dengan suka rela
mengikuti Perang Suci itu, sekalipun sebelumnya dia merupakan
seorang perompak, pembunuh, pencuri dan sebagainya. Maka
keluarlah ribuan umat Kristian untuk mengikuti perang dengan
memikul senjata untuk menyertai perang Suci. Mereka yang
ingin mengikuti perang ini diperintahkan agar meletakkan tanda
Salib di badannya, oleh kerana itulah perang ini disebut Perang
Salib.
Paus Urbanus menetapkan tarikh 15 Ogos 1095 bagi
pemberangkatan tentera Salib menuju Timur Tengah, tapi
kalangan awam sudah tidak sabar menunggu lebih lama lagi
setelah dijanjikan dengan berbagai kebebasan, kemewahan dan
habuan. Mereka mendesak Paderi Patriach Ermite agar
berangkat memimpin mereka. Maka Ermite pun berangkat
dengan 60,000 orang pasukan, kemudian disusul oleh kaum tani
dari Jerman seramai 20.000, datang lagi 200,000 orang
menjadikan jumlah keseluruhannya 300,000 orang lelaki dan
perempuan. Sepanjang perjalanan, mereka di izinkan
merompak, memperkosa, berzina dan mabuk-mabuk. Setiap
penduduk negeri yang dilaluinya, selalu mengalu-alukan dan
memberikan bantuan seperlunya.
Akan tetapi sesampainya di Hongaria dan Bulgaria, sambutan
sangat dingin, menyebabkan pasukan Salib yang sudah
kekurangan makanan ini marah dan merampas harta benda
penduduk. Penduduk di dua negeri ini tidak tinggal diam. Walau
pun mereka sama-sama beragama Kristian, mereka tidak senang
dan bertindak balas. Terjadilah pertempuran sengit dan
pembunuhan yang mengerikan. Dari 300,000 orang pasukan
Salib itu hanya 7000 sahaja yang selamat sampai di
Semenanjung Thracia di bawah pimpinan sang Rahib.
Apabila pasukan Salib itu telah mendarat di pantai Asia kecil,
pasukan kaum Muslimin yang di pimpin oleh Sultan Kalij Arselan
telah menyambutnya dengan hayunan pedang. Maka terjadilah
pertempuran sengit antara kaum Salib dengan pasukan Islam
yang berakhir dengan hancur binasanya seluruh pasukan Salib
itu.

Kaum Salib Mengganas

Setelah kaum Salib yang dipimpin oleh para Rahib yang tidak
tahu strategi perang itu musnah sama sekali, muncullah pasukan
Salib yang dipimpin oleh anak-anak Raja Godfrey dari Lorraine
Perancis, Bohemund dari Normandy dan Raymond dari Toulouse.
Mereka berkumpul di Konstantinopel dengan kekuatan 150,000
askar, kemudian menyeberang selat Bosfur dan melanggar
wliayah Islam bagaikan air bah. Pasukan kaum Muslimin yang
hanya berkekuatan 50,000 orang bertahan mati-matian di
bawah pimpinan Sultan Kalij Arselan.
Satu persatu kota dan Benteng kaum Muslimin jatuh ke tangan
kaum Salib, memaksa Kalij Arselan berundur dari satu benteng
ke benteng yang lain sambil menyusun kekuatan dan taktik
baru. Bala bantuan kaum Salib datang mencurah-curah dari
negara-negara Eropah. Sedangkan Kalij Arselan tidak dapat
mengharapkan bantuan dari wilayah-wilayah Islam yang lain,
kerana mereka sibuk dengan kemelut dalaman masing-masing.
Setelah berlaku pertempuran sekian lama, akhirnya kaum Salib
dapat mara dan mengepung Baitul Maqdis, tapi penduduk kota
Suci itu tidak mahu menyerah kalah begitu saja. Mereka telah
berjuang dengan jiwa raga mempertahankan kota Suci itu
selama satu bulan. Akhirnya pada 15 Julai 1099, Baitul Maqdis
jatuh ke tangan pasukan Salib, tercapailah cita-cita mereka.
Berlakulah keganasan luar biasa yang belum pernah terjadi
dalam sejarah umat manusia. Kaum kafir Kristian itu telah
menyembelih penduduk awam Islam lelaki, perempuan dan
kanak-kanak dengan sangat ganasnya. Mereka juga membantai
orang-orang Yahudi dan orang-orang Kristian yang engganbergabung dengan kaum Salib. Keganasan kaum Salib Kristian
yang sangat melampau itu telah dikutuk dan diperkatakan oleh
para saksi dan penulis sejarah yang terdiri dari berbagai agama
dan bangsa.
Seorang ahli sejarah Perancis, Michaud berkata: Pada saat
penaklukan Jerussalem oleh orang Kristian tahun 1099, orangorang
Islam dibantai di jalan-jalan dan di rumah-rumah.
Jerussalem tidak punya tempat lagi bagi orang-orang yang kalah
itu. Beberapa orang cuba mengelak dari kematian dengan cara
menghendap-hendap dari benteng, yang lain berkerumun di
istana dan berbagai menara untuk mencari perlindungan
terutama di masjid-masjid. Namun mereka tetap tidak dapat
menyembunyikan diri dari pengejaran orang-orang Kristian itu.
Tentera Salib yang menjadi tuan di Masjid Umar, di mana orangorang
Islam cuba mempertahankan diri selama beberapa lama
menambahkan lagi adegan-adegan yang mengerikan yang
menodai penaklukan Titus. Tentera infanteri dan kaveleri lari
tunggang langgang di antara para buruan. Di tengah huru-hara
yang mengerikan itu yang terdengar hanya rintihan dan jeritan
kematian. Orang-orang yang menang itu memijak-mijak
tumpukan mayat ketika mereka lari mengejar orang yang cuba
menyelamatkan diri dengan sia-sia.
Raymond d Agiles, yang menyaksikan peristiwa itu dengan mata
kepalanya sendiri mengatakan: Di bawah serambi masjid yang
melengkung itu, genangan darah dalamnya mencecah lutut dan
mencapai tali kekang kuda.
Aksi pembantaian hanya berhenti beberapa saat saja, yakni
ketika pasukan Salib itu berkumpul untuk menyatakan
kesyukuran di atas kemenangan mereka. Tapi sebaik saja
upacara itu selesai, pembantaian diteruskan dengan lebih ganas
lagi.
Seterusnya Michaud berkata: Semua yang tertangkap yang
disisakan dari pembantaian pertama, semua yang telah
diselamatkan untuk mendapatkan upeti, dibantai dengan kejam.
Orang-orang Islam itu dipaksa terjun dari puncak menara dan
bumbung-bumbung rumah, mereka dibakar hidup -hidup ,
diheret dari tempat persembunyian bawah tanah, diheret ke
hadapan umum dan dikurbankan di tiang gantungan.
Air mata wanita, tangisan kanak-kanak, begitu juga
pemandangan dari tempat Yesus Kristus memberikan ampun
kepada para algojonya, sama sekali tidak dapat meredhakan
nafsu membunuh orang-orang yang menang itu. Penyembelihan
itu berlangsung selama seminggu. Beberapa orang yang berhasil
melarikan diri, dimusnahkan atau dikurangkan bilangannya
dengan perhambaan atau kerja paksa yang mengerikan.
Gustav Le Bon telah mensifatkan penyembelihan kaum Salib
Kristian sebagaimana kata-katanya: Kaum Salib kita yang
bertakwa itu tidak memadai dengan melakukan berbagai
bentuk kezaliman, kerosakan dan penganiayaan, mereka
kemudian mengadakan suatu mesyuarat yang memutuskan
supaya dibunuh saja semua penduduk Baitul Maqdis yang terdiri
dari kaum Muslimin dan bangsa Yahudi serta orang-orang
Kristian yang tidak memberikan pertolongan kepada mereka
yang jumlah mencapai 60,000 orang. Orang-orang itu telah
dibunuh semua dalam masa 8 hari saja termasuk perempuan,
kanak-kanak dan orang tua, tidak seorang pun yang terkecuali.
Ahli sejarah Kristian yang lain, Mill, mengatakan: Ketika itu
diputuskan bahawa rasa kasihan tidak boleh diperlihatkan
terhadap kaum Muslimin. Orang-orang yang kalah itu diheret ke
tempat-tempat umum dan dibunuh. Semua kaum wanita yang
sedang menyusu, anak-anak gadis dan anak-anak lelaki dibantai
dengan kejam. Tanah padang, jalan-jalan, bahkan tempattempat
yang tidak berpenghuni di Jerusssalem ditaburi oleh
mayat-mayat wanita dan lelaki, dan tubuh kanak-kanak yang
koyak-koyak. Tidak ada hati yang lebur dalam keharuan atau yang tergerak untuk berbuat kebajikan melihat peristiwa
mengerikan itu.

Kemunculan Panglima Shalahuddin

Jatuhnya kota Suci Baitul Maqdis ke tangan kaum Salib telah
mengejutkan para pemimpin Islam. Mereka tidak menyangka
kota Suci yang telah dikuasainya selama lebih 500 tahun itu
boleh terlepas dalam sekelip mata. Mereka sedar akan kesilapan
mereka kerana berpecah belah. Para ulama telah berbincang
dengan para Sultan, Emir dan Khalifah agar mengambil berat
dalam perkara ini.
Usaha mereka berhasil. Setiap penguasa negara Islam itu
bersedia bergabung tenaga untuk merampas balik kota Suci
tersebut. Di antara pemimpin yang paling gigih dalam usaha
menghalau tentera Salib itu ialah Imamuddin Zanki dan
diteruskan oleh anaknya Emir Nuruddin Zanki dengan dibantu
oleh panglima Asasuddin Syirkuh.
Setelah hampir empat puluh tahun kaum Salib menduduki Baitul
Maqdis, Shalahuddin Al-Ayyubi baru lahir ke dunia, yakni pada
tahun 1138 Masihi. Keluarga Shalahuddin taat beragama dan
berjiwa pahlawan. Ayahnya, Najmuddin Ayyub adalah seorang
yang termasyhur dan beliau pulalah yang memberikan
pendidikan awal kepada Shalahuddin.
Selain itu, Shalahuddin juga mendapat pendidikan dari bapa
saudaranya Asasuddin Syirkuh seorang negarawan dan panglima
perang Syria yang telah berhasil mengalahkan tentera Salib
sama ada di Syria ataupun di Mesir. Dalam setiap peperangan
yang dipimpin oleh panglima Asasuddin, Shalahuddin sentiasa
ikut sebagai tentera pejuang sekalipun usianya masih muda.
Pada tahun 549 H/1154 M, panglima Asasuddin Syirkuh
memimpin tenteranya merebut dan menguasai Damsyik.
Shalahuddin yang ketika itu baru berusia 16 tahun turut serta
sebagai pejuang. Pada tahun 558 H/1163 Masihi, panglima
Asasuddin membawa Shalahuddin Al-Ayyubi yang ketika itu
berusia 25 tahun untuk menundukkan Daulat Fatimiyah di Mesir
yang diperintah oleh Aliran Syiah Ismailiyah yang semakin
lemah.Usahanya berhasil. Khalifah Daulat Fatimiyah terakhir
Adhid Lidinillah dipaksa oleh Asasuddin Syirkuh untuk
menandatangani perjanjian. Akan tetapi, Wazir besar Shawar
merasa cemburu melihat Syirkuh semakin popular di kalangan
istana dan rakyat.
Dengan senyap-senyap dia pergi ke Baitul Maqdis dan meminta
bantuan dari pasukan Salib untuk menghalau Syirkuh daripada
berkuasa di Mesir. Pasukan Salib yang dipimpin oleh King
Almeric dari Jerussalem menerima baik jemputan itu. Maka
terjadilah pertempuran antara pasukan Asasuddin dengan King
Almeric yang berakhir dengan kekalahan Asasuddin. Setelah
menerima syarat-syarat damai dari kaum Salib, panglima
Asasuddin dan Shalahuddin dibenarkan balik ke Damsyik.
Kerjasama Wazir besar Shawar dengan orang kafir itu telah
menimbulkan kemarahan Emir Nuruddin Zanki dan para
pemimpin Islam lainnya termasuk Baghdad. Lalu
dipersiapkannya tentera yang besar yang tetap dipimpin oleh
panglima Syirkuh dan Shalahuddin Al-Ayyubi untuk menghukum
si pengkhianat Shawar. King Almeric terburu-buru menyiapkan
pasukannya untuk melindungi Wazir Shawar setelah mendengar
kemaraan pasukan Islam. Akan tetapi Panglima Syirkuh kali ini
bertindak lebih pantas dan berhasil membinasakan pasukan King
Almeric dan menghalaunya dari bumi Mesir dengan aib sekali.
Panglima Shirkuh dan Shalahuddin terus mara ke ibu kota
Kaherah dan mendapat tentangan dari pasukan Wazir Shawar.
Akan tetapi pasukan Shawar hanya dapat bertahan sebentar
saja, dia sendiri melarikan diri dan bersembunyi. Khalifah Al Adhid Lidinillah terpaksa menerima dan menyambut kedatangan
panglima Syirkuh buat kali kedua.
Suatu hari panglima Shalahuddin Al-Ayyubi berziarah ke kuburan
seorang wali Allah di Mesir, ternyata Wazir Besar Shawar
dijumpai bersembunyi di situ. Shalahuddin segera menangkap
Shawar, dibawa ke istana dan kemudian dihukum bunuh.
Khalifah Al-Adhid melantik panglima Asasuddin Syirkuh menjadi
Wazir Besar menggantikan Shawar. Wazir Baru itu segera
melakukan perbaikan dan pembersihan pada setiap institusi
kerajaan secara berperingkat. Sementara anak saudaranya,
panglima Shalahuddin Al-Ayyubi diperintahkan membawa
pasukannya mengadakan pembersihan di kota-kota sepanjang
sungai Nil sehingga Assuan di sebelah utara dan bandar-bandar
lain termasuk bandar perdagangan Iskandariah.

Menutup Daulah Fatimiyah

Wazir Besar Syirkuh tidak lama memegang jawatannya, kerana
beliau wafat pada tahun 565 H/1169 M. Khalifah Al-Adhid
melantik panglima Shalahuddin Al-Ayyubi menjadi Wazir Besar
menggantikan Syirkuh dengan mendapat persetujuan pembesarpembesar
Kurdi dan Turki. Walaupun berkhidmat di bawah
Khalifah Daulat Fatimiah, Shalahuddin tetap menganggap Emir
Nuruddin Zanki sebagai ketuanya.
Nuruddin Zanki berulang kali mendesak Shahalahuddin agar
menangkap Khalifah Al-Adhid dan mengakhiri kekuasaan Daulat
Fatimiah untuk seterusnya diserahkan semula kepada Daulat
Abbasiah di Baghdad. Akan tetapi Shalahuddin tidak mahu
bertindak terburu-buru, beliau memperhatikan keadaan
sekelilingnya sehingga musuh-musuh dalam selimut betul-betul
lumpuh.
Barulah pada tahun 567 H/1171 Masihi, Shalahuddin
mengumumkan penutupan Daulat Fatimiah dan kekuasaan
diserahkan semula kepada Daulat Abbasiah. Maka doa untuk
Khalifah Al-Adhid pada khutbah Jumaat hari itu telah ditukar
kepada doa untuk Khalifah Al-Mustadhi dari Daulat Abbasiah.
Ketika pengumuman peralihan kuasa itu dibuat, Khalifah Al-
Adhid sedang sakit kuat, sehingga beliau tidak mengetahui
perubahan besar yang berlaku di dalam negerinya dan tidak
mendengar bahawa Khatib Jumaat sudah tidak mendoakan
dirinya lagi. Sehari selepas pengumuman itu, Khalifah Al-Adhid
wafat dan dikebumikan sebagaimana kedudukan sebelumnya,
yakni sebagai Khalifah.
Dengan demikian berakhirlah kekuasaan Daulat Fatimyah yang
dikuasai oleh kaum Syi ah selama 270 tahun. Keadaan ini
sememangnya telah lama ditunggu-tunggu oleh golongan
Ahlussunnah di seluruh negara Islam lebih-lebih lagi di Mesir
sendiri. Apalagi setelah Wazir Besar Shawar berkomplot dengan
kaum Salib musuh Islam. Pengembalian kekuasaan kepada
golongan Sunni itu telah disambut meriah di seluruh wilayahwilayah
Islam, lebih-lebih di Baghdad dan Syiria atas restu
Khalifah Al-Mustadhi dan Emir Nuruddin Zanki.
Mereka sangat berterima kasih kepada Panglima Shalahuddin Al-
Ayyubi yang dengan kebijaksanaan dan kepintarannya telah
menukar suasana itu secara aman dan damai. Serentak dengan
itu pula, Wazir Besar Shalahuddin Al-Ayyubi telah merasmikan
Universiti Al-Azhar yang selama ini dikenal sebagai pusat
pengajian Syiah kepada pusat pengajian Ahlussunnah Wal
Jamaah. Semoga Allah membalas jasa-jasa Shalahuddin.

Menyatupadukan Kuasa-Kuasa Islam

Walaupun sangat pintar dan bijak mengatur strategi dan berani
di medan tempur, Shalahuddin berhati lembut, tidak mahu
menipu atasan demi kekuasaan dunia. Beliau tetap setia pada
atasannya, tidak mahu merampas kuasa untuk kepentingan
peribadi. Kerana apa yang dikerjakannya selama ini hanyalah mencari peluang untuk menghalau tentera Salib dari bumi
Jerussalem. Untuk tujuan ini, beliau berusaha menyatu padukan
wilayah-wilyah Islam terlebih dahulu, kemudian menghapuskan
para pengkhianat agama dan negara agar peristiwa Wazir Besar
Shawar tidak berulang lagi.
Di Mesir, beliau telah berkuasa penuh, tapi masih tetap taat setia
pada kepimpinan Nuruddin Zanki dan Khalifah di Baghdad.
Tahun 1173 M, Emir Nuruddin Zanki wafat dan digantikan oleh
puteranya Ismail yang ketika itu baru berusia 11 tahun dan
bergelar Mulk al Shalih. Para ulama dan pembesar menginginkan
agar Emir Salahudin mengambil alih kuasa kerana tidak suka
kepada Mulk al-Shalih keran selalu cuai melaksanakan
tanggungjawabnya dan suka bersenang-senang. Akan tetapi
Shalahuddin tetap taat setia dan mendoakan Mulk al Saleh
dalam setiap khutbah Jumaat, bahkan mengabadikannya pada
mata wang syiling.
Apabila Damsyik terdedah pada serangan kaum Salib, barulah
Shalahudin menggerakkan pasukannya ke Syiria untuk
mempertahankan kota itu daripada jatuh. Tidak lama kemudian
Ismail wafat, maka Shalahuddin menyatukan Syria dengan Mesir
dan menubuhkan Emirat Al-Ayyubiyah dengan beliau sendiri
sebagai Emirnya yang pertama. Tiada berapa lama kemudian,
Sultan Shalahuddin dapat menggabungkan negeri-negeri An-
Nubah, Sudan, Yaman dan Hijaz ke dalam kekuasaannya yang
besar. Negara di Afirka yang telah diduduki oleh askar Salib dari
Normandy, juga telah dapat direbutnya dalam masa yang
singkat. Dengan ini kekuasaan Shalahuddin telah cukup besar
dan kekuatan tenteranya cukup ramai untuk mengusir tentera
kafir Kristian yang menduduki Baitul Maqdis selama berpuluh
tahun.
Sifatnya yang lemah lembut, zuhud, wara dan sederhana
membuat kaum Muslimin di bawah kekuasaannya sangat
mencintainya. Demikian juga para ulama sentiasa
mendoakannya agar cita-cita sucinya untuk merampas semula
Tanah Suci berhasil dengan segera.

Perjuangan Merebut Baitul Maqdis

Setelah merasa kuat, Sultan Shalahuddin menumpukan
perhatiannya untuk memusnahkan tentera Salib yang
menduduki Baitul Maqdis dan merebut kota Suci itu semula.
Banyak rintangan dan problem yang dialami oleh Sultan sebelum
maksudnya tercapai. Siasah yang mula-mula dijalankannya
adalah mengajak tentera Salib untuk berdamai. Pada lahirnya,
kaum Salib memandang bahawa Shalahuddin telah menyerah
kalah, lalu mereka menerima perdamaian ini dengan sombong.
Sultan sudah menjangka bahawa orang-orang kafir Kristian itu
akan mengkhianati perjanjian, maka ini akan menjadi alasan
bagi beliau untuk melancarkan serangan. Untuk ini, beliau telah
membuat persiapan secukupnya.
Ternyata memang betul, baru sebentar perjanjian
ditandatangani, kaum Salib telah mengadakan pelanggaran.
Maka Sultan Shalahuddin, segera bergerak melancarkan
serangan, tapi kali ini masih gagal dan beliau sendiri hampir
kena tawan. Beliau kembali ke markasnya dan menyusun
kekuatan yang lebih besar.
Suatu kejadian yang mengejutkan Sultan dalam suasana
perdamaian adalah tindakan seorang panglima Salib Count
Rainald de Chatillon yang bergerak dengan pasukannya untuk
menyerang kota Suci Makkah dan Madinah. Akan tetapi pasukan
ini hancur binasa digempur mujahid Islam di laut Merah dan
Count Rainald dan sisa pasukannya balik ke Jerussalem. Dalam
perjalanan, mereka telah berjumpa dengan satu iring-iringan
kafilah kaum Muslimin yang didalamnya terdapat seorang
saudara perempuan Sultan Shalahuddin. Tanpa berfikir panjang,
Count dan kuncu-kuncunya menyerang kafilah tersebut dan menawan mereka termasuk saudara perempuan kepada
Shalahuddin.
Dengan angkuh Count berkata: Apakah Muhammad, Nabi
mereka itu mampu datang untuk menyelamatkan mereka?
Seorang anggota kafilah yang dapat meloloskan diri terus lari
dan melapor kepada Sultan apa yang telah terjadi. Sultan sangat
marah terhadap pencabulan gencatan senjata itu dan mengirim
perutusan ke Jerussalem agar semua tawanan dibebaskan. Tapi
mereka tidak memberikan jawapan. Ekoran kejadian ini, Sultan
keluar membawa pasukannya untuk menghukum kaum Salib
yang sering mengkhianati janji itu. Terjadilah pertempuran yang
sangat besar di gunung Hittin sehingga dikenal dengan Perang
Hittin.
Dalam pertempuran ini, Shalahuddin menang besar. Pasukan
musuh yang berjumlah 45,000 orang hancur binasa dan hanya
tinggal beberapa ribu saja yang sebagian besarnya menjadi
tawanan termasuk Count Rainald de Chatillon sendiri. Semuanya
diangkut ke Damaskus. Count Rainald yang telah menawan
saudara perempuan Sultan dan mempersendakan Nabi
Muhammad itu digiring ke hadapan beliau.
Nah, bagaimana jadinya yang telah nampak oleh engkau
sekarang? Apakah saya tidak cukup menjadi pengganti Nabi
Besar Muhammad untuk melakukan pembalasan terhadap
berbagai penghinaan engkau itu? tanya Sultan Shalahuddin.
Shalahuddin mengajak Count agar masuk Islam, tapi dia tidak
mahu. Maka dia pun dihukum bunuh kerana telah menghina Nabi
Muhammad.

Kembali Ke Pangkuan Kaum Muslimin

Setelah melalui berbagai peperangan dan menaklukkan
berbagai benteng dan kota, sampailah Sultan Shalahuddin
pada matlamat utamanya iaitu merebut Baitul Maqdis. Kini
beliau mengepung Jerussalem selama empat puluh hari
membuat penduduk di dalam kota itu tidak dapat berbuat
apa-apa dan kekurangan keperluan asas. Waktu itu
Jerussalem dipenuhi dengan kaum pelarian dan orang-orang
yang selamat dalam perang Hittin. Tentera pertahanannya
sendiri tidak kurang dari 60,000 orang.
Pada mulanya Sultan menyerukan seruan agar kota Suci itu
diserahkan secara damai. Beliau tidak ingin bertindak seperti
yang dilakukan oleh Godfrey dan orang-orangnya pada tahun
1099 untuk membalas dendam. Akan tetapi pihak Kristian
telah menolak tawaran baik dari Sultan, bahkan mereka
mengangkat Komandan Perang untuk mempertahankan kota
itu. Kerana mereka menolak seruan, Sultan Shalahuddin pun
bersumpah akan membunuh semua orang Kristian di dalam
kota itu sebagai membalas dendam ke atas peristiwa 90
tahun yang lalu. Mulailah pasukan kaum Muslimin
melancarkan serangan ke atas kota itu dengan anak panah
dan manjanik.
Kaum Salib membalas serangan itu dari dalam benteng.
Setelah berlangsung serangan selama empat belas hari,
kaum Salib melihat bahawa pintu benteng hampir musnah
oleh serangan kaum Muslimin. Para pemimpin kaum Salib
mulai merasa takut melihat kegigihan dan kekuatan pasukan
Muslim yang hanya tinggal menunggu masa untuk melanggar
masuk. Beberapa pemimpin Kristian telah keluar menemui
Sultan Shalahuddin menyatakan hasratnya untuk
menyerahkan kota Suci secara aman dan minta agar nyawa
mereka diselamatkan.
Akan tetapi Sultan menolak sambil berkata: Aku tidak akan
menaklukkan kota ini keculai dengan kekerasan sebagaimana
kamu dahulu menaklukinya dengan kekerasan. Aku tidak
akan membiarkan seorang Kristian pun melainkan akan kubunuh sebagaimana engkau membunuh semua kaum
Muslimin di dalam kota ini dahulu.
Setelah usaha diplomatik mereka tidak berhasil, Datuk
Bandar Jerussalem sendiri datang menghadap Sultan dengan
merendah diri dan minta dikasihani, memujuk dan merayu
dengan segala cara. Sultan Shalahuddin tidak menjawabnya.
Akhirnya ketua Kristian itu berkata: Jika tuan tidak mahu
berdamai dengan kami, kami akan balik dan membunuh
semua tahanan (terdiri dari kaum Muslimin seramai 4000
orang) yang ada pada kami. Kami juga akan membunuh
anak cucu kami dan perempuan-perempuan kami. Setelah itu
kami akan binasakan rumah-rumah dan bangunan-bangunan
yang indah-indah, semua harta dan perhiasan yang ada pada
kami akan dibakar. Kami juga akan memusnahkan Kubah
Shahra , kami akan hancurkan semua yang ada sehingga
tidak ada apa-apa yang boleh dimanfaatkan lagi. Selepas itu,
kami akan keluar untuk berperang mati-matian, kerana
sudah tidak ada apa-apa lagi yang kami harapkan selepas ini.
Tidak seorang pun boleh membunuh kami sehingga
sebilangan orang-orang tuan terbunuh terlebih dahulu. Nah,
jika demikian keadaannya, kebaikan apalagi yang tuan boleh
harapkan?
Setelah mendengar kata-kata nekat dan ugutan itu, Sultan
Shalahuddin menjadi lembut dan kasihan dan bersedia untuk
memberikan keamanan. Beliau meminta nasihat para ulama
yang mendampinginya mengenai sumpah berat yang telah
diucapkannya. Para ulama mengatakan bahawa beliau mesti
menebus sumpahnya dengan membayar Kifarat sebagaimana
yang telah disyariatkan.
Maka berlangsunglah penyerahan kota secara aman dengan
syarat setiap penduduk mesti membayar wang tebusan. Bagi
lelaki wajib membayar sepuluh dinar, perempuan lima dinar
dan kanak-kanak dua dinar sahaja. Barangsiapa yang tidak
mampu membayar tebusan, akan menjadi tawanan kaum
Muslimin dan berkedudukan sebagai hamba. Semua rumah,
senjata dan alat-alat peperangan lainnya mesti ditinggalkan
untuk kaum Muslimin. Mereka boleh pergi ke mana-mana
tempat yang aman untuk mereka. Mereka diberi tempo
selama empat puluh hari untuk memenuhi syarat-syaratnya,
dan Barangsiapa yang tidak sanggup menunaikannya
sehinnga lewat dari waktu itu, ia akan menjadi tawanan.
Ternyata ada 16,000 orang Kristian yang tidak sanggup
membayar wang tebusan. Semua mereka ditahan sebagai
hamba.
Maka pada hari Jumaat 27 Rajab 583 Hijrah, Sultan
Shalahuddin bersama kaum Muslimin memasuki Baitul
Maqdis. Mereka melaungkan Allahu Akbar dan bersyukur
kehadirat Allah s.w.t. Air mata kegembiraan menitis di setiap
pipi kaum Muslimin sebaik saja memasuki kota itu. Para
ulama dan solehin datang mengucapkan tahniah kepada
Sultan Shalahuddin di atas perjuangannya yang telah
berhasil. Apalagi tarikh tersebut bersamaan dengan tarikh
Isra Nabi S.A.W dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa. Pada
hari Jumaat tersebut, kaum Muslimin tidak sempat
melaksankan solat Jumaat di Masjidil Aqsa kerana sempitnya
waktu. Mereka terpaksa membersihkan Masjid Suci itu dari
babi, kayu-kayu salib, gambar-gambar rahib dan patungpatung
yang dipertuhan oleh kaum Kristian. Barulah pada
Jumaat berikutnya mereka melaksanakan solat Jumaat di
Masjidil Aqsa buat pertama kalinya dalam masa 92 tahun.
Kadi Muhyiddin bin Muhammad bin Ali bin Zaki telah
bertindak selaku khatib atas izin Sultan Shalahuddin.
Kejatuhan Jerussalem ke tangan kaum Muslimin telah
membuat Eropah marah. Mereka melancarkan kutipan yang
disebut Saladin tithe , yakni derma wajib untuk melawan
Shalahuddin yang hasilnya digunakan untuk membiayai
perang Salib. Dengan angkatan perang yang besar, beberapa
orang raja Eropah berangkat untuk merebut kota Suci itu semula. Maka terjadilah perang Salib ketiga yang sangat
sengit. Namun demikian, Shalahuddin masih dapat
mempertahankan Jerussalem sehingga perang tamat.
Setahun selepas perang Salib ke tiga itu, Sultan Shalahuddin
pulang kerahmatullah. Semoga Allah mencucuri rahmat ke
atasnya, amin.

Peribadi Seorang Panglima

Sultan Shalahuddin Al-Ayyubi terbilang sebagai pahlawan dan
Panglima Islam yang besar. Pada beliau terkumpul sifat-sifat
berani, wara , zuhud, khusyu , pemurah, pemaaf, tegas dan
lain-lain sifat terpuji. Para ulama dan penulis sejarah telah
memberikan kepujian yang melangit. Sifat pemurah dan
pemaafnya diakui oleh lawan mahupun kawan.
Seorang penulis sejarah mengatakan: Hari kematiannya
merupakan kehilangan besar bagi agama Islam dan kaum
Muslimin, kerana mereka tidak pernah menderita semenjak
kehilangan keempat-empat Khalifah yang pertama
(Khulafaurrasyidin). Istana, kerajaan dan dunia diliputi oleh
wajah-wajah yang tertunduk, seluruh kota terbenam dalam
dukacita, dan rakyat mengikuti keranda jenazahnya dengan
tangisan dan ratapan.
Sultan Shalahuddin adalah seorang pahlawan yang
menghabiskan waktunya dengan bekerja keras siang dan
malam untuk Islam. Hidup nya sangat sederhana. Minumnya
hanya air kosong, makanannya sederhana, pakaiannya dari
jenis yang kasar. Beliau sentiasa menjaga waktu-waktu solat
dan mengerjakannya secara berjamaah. Dikatakan bahawa
beliau sepanjang hayatnya tidak pernah terlepas dari
mengerjakan solat jamaah, bahkan ketika sakit yang
membawa pada ajalnya, beliau masih tetap mengerjakan
solat berjamaah. Sebaik saja imam masuk berdiri di
tempatnya, beliau sudah siap di dalam saf. Beliau suka
mendengarkan bacaan Al-Quran, Hadis dan ilmu
pengetahuan. Dalam bidang Hadis, beliau memang
mendengarkannya secara teratur, sehingga beliau boleh
mengenal jenis-jenis hadis. Hatinya sangat lembut dan
pemurah, sering menangis apabila mendengarkan hadis.
Di dalam buku The Historians History of the World
disebutkan sifat-sifat Shalahuddin sebagai berikut:
Keberanian dan keberhasilan Sultan Shalahuddin itu
terjelma seluruhnya pada perkembangan keperibadian
yang luar biasa. Sama sepert i halnya dengan Emir
Imamuddin Zanki dan Emir Nuruddin Zanki, beliau
juga merupakan seorang Muslim yang taat . Sudah
menjadi kebiasaan bagi Sultan Shalahuddin
membacakan Kitab Suci Al-Quran kepada pasukannya
menjelang pertempuran berlangsung. Beliau juga
sangat disiplin mengqada set iap puasanya yang
tert inggal dan t idak pernah lalai mengerjakan solat
lima waktu sampai pada akhir hayatnya. Minumannya
t idak lain dari air kosong saja, memakai pakaian yang
terbuat dari bulu yang kasar, dan mengizinkan dirinya
untuk dipanggil ke depan pengadilan. Beliau mengajar
sendiri anak-anaknya mengenai agama I slam.......

Seluruh kaum Muslimin yang menyaksikan kewafatannya
menitiskan air mata apabila Sultan yang mengepalai
negara yang terbentang luas dari Asia hingga ke Afrika itu
hanya meninggalkan warisan 1 dinar dan 36 dirham.
Tidak meninggalkan emas, tidak punya tanah atau kebun.
Padahal berkhidmat pada kerajaan berpuluh tahun dan
memegang jawatan sebagai panglima perang dan Menteri
Besar sebelum menubuhkan Emirat Ayyubiyah.
Kain yang dibuat kafannya adalah betul-betul dari
warisan beliau yang jelas-jelas halal dan sangat
sederhana. Anak beliau yang bernama Fadhal telah
masuk ke liang lahad meletakkan jenazah ayahnya. Dikatakan bahawa beliau dikebumikan bersama-sama
pedangnya yang dipergunakan dalam setiap peperangan
agar dapat menjadi saksi dan dijadikannya tongkat kelak
pada hari kiamat. Rahimahullahu anh.
Ketika buku ini ditulis, Baitul Maqdis sedang berada di
dalam kekuasaan Zionis Yahudi dengan negaranya Israil
yang dipaksakan. Jika sekiranya ada kepala negara yang
bersifat seperti Sultan Shalahuddin di Timur Tengah sana,
insya Allah Baitul Maqdis dapat direbut semula oleh kaum
Muslimin.
Dipetik Dari Buku :
Kisah 85 Kekasih Allah (Kisah Pejuang Islam) Jilid 3, Darul
Nu'man. Oleh : Hj Ahmad Muhd Abd Ghaffar

Tidak ada komentar: